Lakonan mantap kanak-kanak dalam Sinbad
METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my
KEHILANGAN Kitab Damai membuatkan penduduk kota Baghdad menjadi huru-hara.
SELEPAS teater kanak-kanak berjudul Siti Di Alam Fantasi, Ali Baba dan Aladdin, Istana Budaya (IB) kembali mewarnai dunia fantasi dengan mementaskan teater muzikal berjudul Sinbad.
Dipetik daripada legenda pelayar tujuh lautan menerusi Kisah 1001 Malam, pementasan Sinbad selama sembilan hari bermula 2 hingga 13 Disember lalu itu sememangnya cukup mengagumkan.
Walaupun mempertaruhkan bakat 80 kanak-kanak dengan pelakon paling muda berusia lima tahun, kesemua mereka harus dipuji kerana tidak kaku ketika berada di atas pentas.
Ditambah dengan penampilan Raja Azura sebagai Dewi Bencana, pembawaan wataknya berjaya menggamatkan suasana Panggung Sari di IB, Kuala Lumpur sewaktu pementasannya berlangsung.
Selain Dewi Bencana, Sinbad yang diterajui Muhammad Huraimi Hilman Mohd. Husri dan beberapa watak utama, watak-watak lain yang dapat menangkap perhatian penonton adalah si tikus bernama Titi serta ‘buah hatinya’, Syakula, seekor kucing gemuk.
Tidak kurang juga enam kanak-kanak pembawa watak tangan Dewi Bencana serta aksi kumpulan monyet yang tanpa disangka mampu membawakan tarian shuffle.
Begitu juga kelompok kanak-kanak yang menjadi penduduk Baghdad, pengawal dan pengikut, kelasi kapal serta watak obor-obor.
Meskipun hanya watak sampingan dan beraksi di pentas untuk beberapa minit sahaja, semuanya dilakonkan dengan penuh komited dan profesional.
Kanak-kanak ini dipilih daripada seramai 300 orang yang menyertai sesi uji bakat yang diadakan tidak lama dahulu.
Melalui jumlah itu, ia diperkecilkan kepada 200 orang untuk menyertai bengkel dan diuji sekali lagi sehingga 80 orang telah dipilih di peringkat akhir.
Pujian seterusnya harus diberikan kepada pereka set yang berjaya membawa penonton menyelami alam fantasi Sinbad.
Daripada kota Baghdad yang digambarkan penuh warna-warni, rekaan set kapal pelayaran Sinbad dan negeri Maya Bencana, tempat di mana watak itu ‘bersemayam’, amat mengasyikkan.
Sungguhpun begitu, di sebalik khayalan fantasi, Sinbad tidak lupa menyelitkan unsur nasihat dan semangat persahabatan yang sesuai diterapkan kepada kanak-kanak sebelum mereka menempuh alam dewasa.
Nilai kerjasama, kejujuran dan saling sokong-menyokong, merupakan amalan yang bagaikan sudah hilang dalam norma kehidupan masyarakat ketika ini.
Justeru, ia perlu dihidupkan semula dan semuanya bermula daripada penerapan terhadap diri kanak-kanak.
Sikap bermusuhan juga harus diketepikan dan ia jelas diperlihatkan melalui hubungan watak Titi dan Syakula.
Umum mengetahui, secara tradisinya, tikus adalah makanan kepada kucing tetapi melalui Sinbad, sikap Syakula yang sering mengimpikan untuk memakan Titi secara halus terkikis dek penangan kasih sayang.
Itu belum lagi dilihat nilai menerusi persahabatan antara Sinbad dan Putera Zariq serta keberanian hero terbabit menghadapi pelbagai rintangan.
Sinbad diarahkan oleh A. Aris A. Kadir dengan tenaga produksi membabitkan Siti Jasmina Ibrahim selaku penulis skrip, Badrul Zaman Abdul Jalil (pengarah artistik), Ku Zahir Ku Ahmad (pengarah muzik), Abdul Mutalif Abu Bakar (koreografer) dan Jamaluddin Md. Noor (pengarah multimedia dan kesan khas).
Menurut A. Aris, memutuskan pemilihan pelakon sememangnya adalah suatu kerja sukar kerana ramai yang berbakat.
“Selepas 80 orang kanak-kanak dipilih, mereka kemudiannya menjalani latihan asas dan daripada situ, saya mengenalpasti siapa yang harus memegang watak-watak tertentu.
“Proses latihan memakan masa dua bulan dan percayalah, ia sebenarnya tidak mencukupi.
“Mujurlah saya mendapat pelakon profesional iaitu Raja Azura yang cepat serasi dengan kanak-kanak berkenaan,’’ katanya.
Sinopsis Sinbad
Teater muzikal Sinbad mengisahkan tentang pelayaran seorang pelayar terkenal bernama Sinbad yang bijaksana dan penuh keberanian.
Dia mempunyai hubungan yang akrab dengan seorang anak raja bernama Putera Zariq, namun mencemburui anak raja itu kerana memiliki kemewahan serta kemampuan memperolehi apa sahaja yang diinginkan.
Sebagai ‘makhluk’ yang suka memporak-perandakan manusia, Dewi Bencana bercadang untuk mempermainkan Sinbad.
Angkaranya, Sinbad telah dituduh mencuri Kitab Damai kepunyaan Raja Mikraj.
Dihukum penjara dan bakal dipenggal kepalanya, Sinbad tidak mengaku bersalah serta memberitahu bahawa Kitab Damai dicuri oleh Dewi Bencana.
Atas rasa persahabatan, Putera Zariq mempercayai kata-kata Sinbad.
Dia dengan rela menggantikan tempat Sinbad agar kawannya itu dapat dibebaskan untuk mencari semula Kitab Damai.
Puteri Nursaibah, sahabat Putera Zariq, dalam diam-diam menyusup masuk ke kapal untuk melihat sendiri pelayaran Sinbad.
Sepanjang pelayaran itu, Sinbad dan anak kapalnya melalui pelbagai cabaran.
Apabila sampai di Maya Bencana, kejujuran Sinbad diuji oleh Dewi Bencana sehingga gagal memperoleh Kitab Damai.
Namun, sekembalinya Sinbad ke kota Baghdad, dia sudah bersedia untuk menjalani hukuman lantaran kegagalan mendapatkan kitab itu.
Di hari hukuman, Dewi Bencana secara tiba-tiba muncul dan menyerahkan Kitab Damai lantaran kesetiaan Sinbad terhadap sahabatnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan